I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, January 06, 2006



MEKAH 5 Jan. - Lima jemaah haji Malaysia dilaporkan cedera dalam tragedi sebuah bangunan empat tingkat runtuh mengorbankan 23 orang berhampiran Masjidilharam di sini kira-kira pukul 6 petang ini.

Bangunan itu terletak bersebelahan dengan bangunan yang menempatkan jemaah haji Malaysia.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Jeneral Mansur al-Turki mengesahkan sebuah bangunan telah runtuh di bandar ini tatkala lebih sejuta jemaah haji sedang bersedia menunaikan ibadat kelima dalam rukun Islam itu.

Dipercayai bangunan asrama yang diduduki oleh jemaah dari India dan Emiriyah Arab Bersatu itu runtuh selepas berlaku kebakaran pada kira-kira pukul 1 tengah hari ini (waktu Mekah).

Jumlah kematian tidak tinggi kerana kebanyakan jemaah berada di masjid untuk menunaikan solat Zuhur.

Sementara itu Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Dr. Azmi Ahmad berkata, tiga daripada lima jemaah haji Malaysia yang cedera dimasukkan ke Hospital King Faisal di sini, manakala dua lagi dirawat sebagai pesakit luar.

Mereka yang dimasukkan ke hospital ialah Saliam Sahiddan, Rosli Awang dan Jamil Awang.

Saliam retak tulang punggung dan tulang pipi serta sedikit kecederaan pada muka manakala Jamil patah tulang kaki kanan dan calar pada badannya sementara Rosli luka pada belakang dan kepala.

Dua yang dirawat sebagai pesakit luar ialah Siti Balqis Panggilan dan Nilbah Awang Kassim.

Dr. Azmi berkata: ``Kesemua mereka cedera akibat terkena serpihan batu. Berdasarkan laporan, kejadian itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke maktab masing-masing selepas menunaikan solat Zuhur di Masjidil Haram,'' katanya.

Azmi berkata, pemantauan perlu terus dilakukan kerana terdapat 140 jemaah haji yang tinggal berdekatan di kawasan runtuhan tersebut.

``Saya telah mengarahkan kakitangan Tabung Haji membuat bilangan terkini bagi memastikan tiada jemaah kita yang hilang dan sebagainya.

``Kepada waris saya berharap mereka dapat bertenang dan bersabar dan segala perkembangan terkini akan saya maklumkan kepada bilik gerakan di tanah suci dan Kelana Jaya,'' ujarnya.

Agensi berita AFP memetik seorang jemaah dari Perancis yang menyaksikan kejadian itu memberitahu, seramai 23 orang terbunuh dan lebih 80 cedera.

``Pada ketika ini, saya telah mengira 23 mayat. Mangsa yang cedera lebih daripada 80,'' kata saksi itu, Abderrahmane Ghoul, yang mengetuai organisasi Islam di selatan Perancis.

``Saya ada (di tempat kejadian). Ia bermula dengan kebakaran di bangunan. Sebuah helikopter telah menyemburkan air bagi memadam kebakaran. Selepas itu bangunan itu runtuh,'' kata Abderrahmane.

Beliau berkata, asrama jemaah itu terletak 50 meter dari Masjidilharam yang tempat paling suci bagi umat Islam.

Lebih 2.5 juta jemaah haji dijangka berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji yang dimulakan dengan wukuf pada Ahad ini.

Bagi memudahkan urusan, pihak berkuasa Arab Saudi telah menetapkan tarikh akhir ketibaan jemaah pada malam tadi.

Arab Saudi turut menempatkan 60,000 kakitangan keselamatan iaitu 10,000 lebih ramai berbanding tahun lalu, bagi menghalang berulangnya kejadian rempuhan dan runtuhnya struktur bangunan seperti yang berlaku pada musim haji sebelum ini.

Pada tahun 2003 seramai 251 orang terbunuh dalam insiden rempuhan dan 1,426 orang mati pada 1990 apabila struktur bangunan runtuh.

Bagaimanapun, setakat ini tidak diketahui punca kebakaran yang menyebabkan bangunan asrama itu runtuh.

Beberapa tahun lalu khemah-khemah yang didiami jemaah haji pernah terbakar menyebabkan ia terpaksa diganti dengan bahan kalis api.

1 comment:

Anonymous said...

mudah-mudahan semua jemaah islam malaysia yang berada di sana dalam keadaan selamat hendakk nyer....

Selamat Hari Raya Aidiladhaaa.....